
Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM - Hanya segelintir khatib yang melanggar garis panduan membaca khutbah yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Jais telah menugaskan pegawai penyelaras masjid untuk memantau keadaan itu daripada berulang.
“Hanya terdapat dua atau tiga kes sahaja berlaku di Selangor tetapi ini hanyalah jumlah kecil daripada 500 masjid dan surau yang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat.
“Kita tidak akan ambil mudah perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab yang diletakkan oleh Tuanku Sultan untuk menjadikan masjid sebagai zon larangan politik. Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa bersama untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Bushro Mat Johor semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Menurutnya, garis panduan Jais menetapkan, antaranya, khatib tidak dibenarkan menambah kandungan dalam teks khutbah yang telah disediakan oleh Jais.
“Teks itu mestilah teks yang dikeluarkan Jais dan kita juga menetapkan supaya semua khatib termasuk khatib jemputan perlu mendapat tauliah sebelum dibenarkan menyampaikan khutbah,” katanya.
Dr Hasan berkata, khatib juga tidak dibenarkan mengulas isu politik atau menyentuh sentimen perkauman.
“Khutbah perlulah disampaikan dalam tempoh 15 hingga 20 minit sahaja dan mereka (khatib) perlu berpenampilan kemas dan tidak boleh berupa seperti individu-individu yang dibenci masyarakat,” katanya.
Selasa lalu, Jais telah menamatkan tugas imam Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya kerana membiarkan masjid dijadikan pentas politik.
Imam tersebut telah membiarkan khatib jemputan menyampaikan khutbah Jumaat yang diselitkan dengan unsur politik pada 30 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan