Sumber : Berita Hairan
Oleh Karim Sulaiman
Ketika di dalam Masjidil Haram, Makkah, empat wanita Arab berhenti di depan saya. Mereka bercakap sambil memandang saya yang berkerusi roda. Saya perhatikan mereka bersungguh-sungguh berbual, bagaikan satu perbincangan penting. Wanita itu mungkin memperkatakan keadaan saya berdasarkan pergerakan anggota badan mereka. Tiba-tiba seorang daripada mereka menangis dengan hiba sekali sambil menadah tangannya berdoa.
Tidak tahu apa yang didoakan, tetapi berdasarkan gerak tubuh, mereka mungkin mendoakan supaya saya cepat sembuh. Ada juga jemaah meletakkan tangan di kepala, dada dan bahu saya sambil berdoa. Ramai jemaah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia meminta saya tabah menghadapi penyakit ini.
Keprihatinan jemaah yang berbeza warna kulit, bahasa, budaya dan adat ini membuatkan saya terharu. Rupa-rupanya ramai insan berhati mulia yang mengambil berat dengan keadaan saya. Ada yang ingin tahu lebih lanjut mengenai penyakit ini. Tidak kurang yang memberikan sedekah walaupun sekadar satu riyal. Ada jemaah yang memberikan makanan dan minuman.
Apa yang dialami ini membuatkan saya insaf betapa Allah mensyariatkan ibadat haji supaya umatnya yang berbilang bangsa dan keturunan tanpa mengenal usia dan darjat berkumpul serta mengenali antara satu sama lain. Kami kali pertama bertemu, tetapi ikatan persaudaraan dan perpaduan bagaikan sudah lama terjalin. Benarlah kata-kata Imam Makkah, Sheikh Saud Al-Shuraim dalam satu khutbah Jumaat pada musim haji lalu bahawa ibadat itu mampu menguatkan perpaduan umat Islam seluruh dunia.
Dalam khutbah yang saya petik melalui internet, beliau berkata:
"Kita dapat saksikan manusia berdoa kepada Allah dalam bahasa yang berbeza dan mereka datang dari pelbagai sudut dunia. Mereka cuba mengenali satu sama lain dan memahami erti perpaduan dan persaudaraan."
Persaudaraan akan lebih erat dan mesra apabila sudah mula mengenali. Kemesraan juga terjalin apabila ada orang yang mengenali saya. Sejak di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, Selangor, lagi saya sudah disapa jemaah lain. Sapaan paling biasa – awak yang tulis dalam Berita Harian, awak wartawan yang sakit itu atau awak yang keluar dalam TV9. Terharu apabila seorang pak cik berusia hampir 70 tahun bertanyakan khabar saya.
Jemaah dari Perlis itu memberitahu bahawa beliau mengikuti ruangan saya setiap minggu. Ada juga terus memanggil nama saya dan bersalaman – macam sudah lama kenal dan yakin, inilah orang yang tulis dalam surat khabar itu. Ada jemaah yang tahu kisah saya daripada alif hingga ya – tahu asal saya, berapa lama sakit, nama isteri saya pun mereka tahu. Ada juga yang was-was, sekadar bercakap sesama sendiri – itulah orang yang keluar dalam surat khabar.
Tidak kurang yang mahu mengambil gambar bersama saya seperti seorang jemaah dari Singapura yang ditemui di Jeddah. Jemaah lelaki itu memberitahu dia tidak menyangka dapat bertemu saya di sana. Begitu pun, belumlah sampai tahap orang meminta tanda tangan saya. Tidak sangka saya dikenali melalui ruangan ini. Pada mulanya, apabila diminta menulis, saya agak keberatan – bimbang tiada yang berminat membacanya.
Tetapi, paling lucu, seorang jemaah dari Turki memanggil nama saya. Pada awalnya dia memanggil Sulaiman, saya tidak menjawab. Kemudian dia memanggil Karim pula. Sahlah dia memanggil saya. Kami kemudian bersalaman. Pelik bin ajaib pula, bagaimana dia tahu nama saya. Yalah, di Tanah Suci, banyak perkara aneh boleh berlaku. Saya ceritakan hal itu kepada anak. Dia langsung tidak terkejut bagaimana orang yang tidak pernah bertemu boleh mengenali saya. Dengan tersenyum dia menjawab: "Pada tepi kerusi roda itu kan ada tulis nama ayah". Berangan popularlah tu.
Dalam pada itu, ada yang menyangka saya adalah penulis lirik popular yang sakit. Pertanyaannya kepada anak saya, membuatkan budak itu pening-pening lalat. Apa tidaknya, soalan mautnya – datang dengan siapa? Anak saya dengan sejujur-jujurnya memberitahu, dengan emak. Soalan berikutnya, emak yang tua ke? Anak saya terdiam. Saya faham maksud jemaah tadi dan tahu dia tersilap orang. Agaknya susah menjadi orang yang dikenali, seperti penulis lirik itu – sampai di Tanah Suci pun orang hendak tahu cerita kita.
Adakalanya, baik juga jika dikenali seperti yang berlaku di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Dalam kesibukan untuk pemeriksaan imigresen dan kastam, tiba-tiba seseorang memanggil nama saya suara dan wajah tidak pernah dikenali. Lelaki hitam manis yang bertugas dengan MAS itu mengenali saya. Dipendekkan cerita, semua urusan saya selepas itu bertambah mudah.
Sebelum terlupa, saya diminta oleh beberapa jemaah supaya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan Tabung Haji kerana memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah. Pada saya mereka begitu dedikasi, bekerja tanpa mengira tempat dan waktu untuk kesejahteraan jemaah yang sakit.
Sabtu, 16 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan