Sumber : Sinar Harian
TAMAN MELAWATI - Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace) menyifatkan tindakan Mesir menghalang bantuan kemanusiaan konvoi Viva Palestina 3 memasuki Gaza sebagai bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
Timbalan Pengarahnya, Dr Selamat Aliman berkata, tindakan Mesir yang turut mengenakan dua syarat iaitu bantuan mesti disalurkan menerusi United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) dan kedua mesti mendapat kelulusan Israel bagi memasuki Gaza adalah tidak munasabah.
“Adalah satu penghinaan untuk meminta izin dari entiti Zionis yang menjadi punca kepada kepungan dan penderitaan rakyat Gaza selama ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Jemaah Islah Malaysia (JIM), Taman Melawati.
Hadir sama, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin.
Katanya, masyarakat antarabangsa perlu mendesak Kerajaan Mesir agar menghormati persaudaraan sesama Islam dan kemanusiaan sejagat ke atas rakyat Gaza.
“Kini Kerajaan Mesir bertindak lebih kejam dengan menanam kepingan keluli sedalam 20 hingga 30 meter untuk menutup laluan terowong ke Gaza iaitu satunya ruang yang masih wujud untuk menyalurkan keperluan makanan, ubat dan bekalan asas lain.
“Pace juga mengajak seluruh dunia dengan inisiatif yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mendesak Mesir supaya tunduk kepada tuntutan masyarakat antarabangsa yang prihatin ke atas nasib penduduk Gaza dan menyokong usaha untuk menghentikan kepungan ke atas Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Pace juga membidas pejabat Kedutaan Mesir di Malaysia yang memberi pelbagai alasan yang mengelirukan apabila mewajarkan tindakan kerajaan Mesir menyekat pergerakan konvoi Viva Palestina dengan penipuan dan dakwaan tidak benar,” katanya.
Pace turut mengalu-alukan bantuan kewangan bagi menampung kos tambahan yang kini terpaksa ditanggung oleh konvoi Viva Palestina akibat dari perubahan laluan yang dikenakan oleh Mesir untuk masuk ke Gaza.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada Tabung Palestin yang diwujudkan khas melalui Maybank No akaun 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).
Khamis, 7 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan