LONDON – Agensi Perisikan Britain (MI6) sudah diberitahu terlebih dahulu bahawa ejen-ejen Israel akan melakukan satu operasi di luar negara dengan menggunakan pasport palsu British, lapor sebuah akhbar semalam.
Kenyataan itu didedahkan bagi merujuk kepada kejadian pembunuhan seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhouh yang ditemui mati di sebuah hotel mewah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 19 Januari lalu.
Sebahagian pembunuh yang terdiri daripada 11 orang itu didapati menggunakan pasport palsu Britain, Perancis dan Ireland.
Salah seorang anggota pasukan perisikan Mossad milik Israel menyatakan Pejabat Luar Negara Britain turut diberitahu mengenai operasi tersebut beberapa jam sebelum komander Hamas itu ditemui mati.
Namun, maklumat yang diperoleh oleh perkhidmatan perisikan itu tidak menyatakan siapakah yang menjadi sasaran dalam serangan berkenaan.
Maklumat itu juga tidak mendedahkan lokasi pasukan pembunuh tersebut akan melakukan serangan.
Bagaimanapun, maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai itu menyatakan kerajaan Britain mengetahui penyalahgunaan pasport United Kingdom.
Satu sumber keselamatan Britain yang menemui ejen Mossad memberitahu akhbar berkenaan bahawa kerajaan British sudah diberitahu secara ringkas mengenai operasi itu.
“Tidak ada penglibatan daripada kerajaan Britain dan ia tidak mengetahui sasaran serangan itu.
“Namun, kerajaan British diberitahu bahawa orang-orang itu (kumpulan pembunuh Mahmoud) akan menggunakan pasport United Kingdom,” kata sumber itu.
Dia berkata, maklumat itu bukannya satu permintaan untuk menggunakan pasport British tetapi lebih merupakan satu pemberitahuan kepada perkhidmatan perisikan negara tersebut.
Pendedahan itu dibuat selepas Duta Israel ke Britain, Ron Prosor dijemput ke Pejabat Luar Britain dan diminta bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan mengenai penggunaan pasport palsu tersebut.
Sumber-sumber perisikan menyatakan, Mahmoud diperangkap supaya datang ke Dubai untuk menghadiri satu mesyuarat oleh dua lelaki yang bekerja dengannya di Gaza, Palestin.
Seorang pengarah pasukan perubatan polis forensik Dubai menyatakan kelmarin bahawa punca kematian komander Hamas itu amat sukar dikenal pasti.
Menurut pengarah itu, bedah siasat yang dilakukan bagi menentukan punca kematian Mahmoud merupakan yang paling susah sepanjang kerjayanya.
Menurut seorang doktor yang mendapat latihan perubatan di Britain, Fawzi Benomran, pembunuh komander itu meletakkan tubuh Mahmoud di atas katil dan menutupnya dengan selimut bagi menunjukkan dia mati semasa sedang tidur.
Israel semalam enggan memenuhi desakan supaya Ketua Mossad, Mier Dagan ditangkap ekoran kes pembunuhan Mahmoud.
Kelmarin Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan Tamim mahu Meir Dagan ditangkap jika agensi perisikan itu menjadi dalang dalam pembunuhan tersebut. – Agensi
Ahad, 21 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan