Sumber : Tranungkite
Oleh: ustnik
Akhbar hari Jumaat 12 Feb 2010 melaporkan isteri PM dan Shahrizat Jalil menyuarakan kebimbangan kes buang bayi yang cukup ketara. Ia bukan kes baru, tetapi kenapa baru bersuara dan baru terperasan. Almarhum Ustaz Fadhil Nor pernah menyebutkan kebimbangannya dengan statistik kelahiran anak luar nikah dalam Parlimen, tetapi ia berlalu begitu sahaja. Kesungguhan kerajaan terhadap isu ini hampir tidak dapat dilihat.
Dengarlah semua ucapan pemimpin - pembangunan, ekonomi, pelaburan, pelancungan, projek & hellip. Isu kemanusiaan ini yang memberikan kesan jangka panjang kepada negara tidak dihiraukan sangat.
Buang bayi berlaku kerana dibuang syariat. Dalam bentuknya yang besar, hukum hudud diketepikan. Hukum zina muhsan dan zina bukan muhsan iaitu rejam sehingga mati dan sebat seratus rotan dianggap tidak relevan untuk dunia moden kononnya. Tetapi sistem kewangan Islam boleh pula diterima. Tidak pula dikatakan tidak relevan.
Dalam bentuknya secara peribadi, si gadis yang berpeleseran dengan pasangannya itu yang membuang syariat. Valentine Day, Sambutan Tahun Baru, sempena-sempena konsert tertentu dijadikan musim-musim mengawan, yang kemudiannya nafsu serakah itu menghasilkan bayi tanpa akad nikah sah. Maka lahirlah warganegara baru Malaysia yang entah apa akan jadi kepadanya nanti.
Dalam institusi keluarga, syariat juga dibuang. Ayah tidak mampu menegur si anak perempuan yang asyik keluar dengan teman lelaki. Ayah hanya pentingkan kerjayanya sahaja. Si ibu pun demikian. Bahkan membiarkan pergaulan bebas itu dianggap bertamadun. Yang tidak bersosial dan berpeleseran itu katanya kolot atau konservatif. Agama untuk mendidik dan menjadi benteng tidak dikisahkan.
Dalam masyarakat, syariat juga dibuang. Perintah Allah supaya jangan dekati zina tidak dihiraukan. Program TV menggalakkan zina secara halus, media, pesta, disko, pub, pelancung yang dibiar jadi pelacur, CD dan web lucah dibiarkan subur.
Kalau ada tindakan hanya melepas batuk di tangga. Kerajaan tidak bersungguh terhadap majalah lucah dan semi-lucah di pasaran. Laman porno mudah dilayari di Malaysia.
Statistik kelahiran bayi luar nikah dan kes buang bayi makin menakutkan. Tidak guna isteri PM dan menteri wanita mengeluh. Sistem yang anda dokong dan perjuangkan selama lebih 50 tahun adalah sistem yang membuang syariat. Justeru tidak pelik kes buang bayi meningkat.
Isnin, 15 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan