CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Ahad, 14 Februari 2010

Hari Kekasih Tanpa Seluar Dalam ada agenda

Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail mempersoalkan agenda kempen sambutan Hari Kekasih Tanpa Seluar Dalam yang begitu hebat promosinya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di kalangan remaja wanita Islam terutamanya pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau yang kecewa dengan SMS tersebut, menyifatkan kempen tersebut seolah-olah sengaja mengundang dan menggalakkan gejala sosial yang lebih teruk selain bermotifkan unsur negatif dalam masyarakat di negara ini.

Beliau mendapati ada juga golongan Melayu terutamanya gadis yang seperti menantikan saat-saat sambutan itu.

“Saya begitu menentang tentang sambutan tersebut, kerana apa sebenarnya saya ingin tahu apakah agenda di sebalik kempen itu? Apakah kita ingin menggalakkan pergaulan bebas?

“Sebenarnya banyak lagi cara kita boleh sambutan untuk mengingati kekasih ini kalau hendak menunjukkan tanda kasih sayang. Saya lebih percaya bahawa tanda kasih sayang itu mesti ada asasnya iaitu kasih sayang di antara manusia itu dinyatakan bilamana hubungan kasih-sayang itu adalah hubungan yang halal,” katanya.

Rodziah berkata, apa yang paling penting mereka perlu balik kepada asas iaitu agama dan adat yang dipegang.

Bagaimanapun beliau tetap mempertikaikan kempen tersebut ditonjolkan seolah-olah ia menyatakan budaya seks bebas di IPT begitu meluas.

“Sekiranya golongan ini hendak menyambut Hari Kekasih, perlulah dengan penuh etika dan akhlak yang baik dan mesti ada asas hubungan itu, baru kita mencurahkan kasih sayang itu kepada yang sepatutnya.

“Dan kalau tiada ikatan halal, perlulah ikut batasan agama kalau kita seorang Islam. Sebagai seorang Islam kita perlu tahu had dan batas agama, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sambutan Hari Ponggal 2010 anjuran DUN Batu Tiga di Kompleks Sukan JKR Seksyen 17, semalam.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid meminta agar masyarakat Islam terutamanya golongan belia dan pelajar IPT mengabaikan SMS yang mengundang ke arah perkara yang dilarang oleh Islam.

Beliau berkata, SMS juga sama seperti media massa dan media elektronik yang mempunyai banyak manfaat tetapi pada masa yang sama ada keburukannya.

“Di dalamnya ada yang elok dan ada yang tidak elok, sepatutnya kita yang tahu hukum hakamnya dan perlulah memilih yang elok dan bermanfaat sahaja.

“Kita perlulah memilih apa sahaja bahan yang tidak bercanggah dengan agama kita. Apa-apa perkara yang mengundang kepada kemungkaran hendak segera dicegah.

Tambahan pula apabila ia melibatkan gejala yang dilarang dalam agama Islam,” katanya.

Menurut beliau, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku tambahan pula dalam kalangan pelajar wanita IPT.

“Kita perlu memahami konsep berkasih sayang kerana hubungan ini ada garis panduannya, sebagai contoh hubungan kekasih dihalalkan bagi suami isteri yang sah.

“Manakala kasih dan belas ihsan kepada keluarga anak cucu berbeza dengan kasih kepada suami atau isteri.

Begitu juga kasih terhadap mereka yang tiada hubungan dengan kita,” katanya.

Beliau berkata, Islam juga begitu menitik beratkan harga diri setiap insan, oleh itu empunya diri perlulah berhemah dan tidak memusnahkan nilai harga diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan