Sumber : Detik Daily
Oleh Haris Zalkapli
Syria menerima lawatan berprofil tinggi Presiden Mahmoud Ahmadinejad dari Iran dan setiausaha agung Hizbullah dari Lubnan, Hassan Na srallah, dalam satu majlis makan malam rasmi kerajaan menemukan kedua-dua tokoh itu dengan Presiden Bashar al-Assad.
Dalam pertemuan yang dilihat media Asia Barat sebagai pertemuan untuk persediaan konflik baharu dalam tempoh beberapa bulan lagi, Damsyik menunjukkan pengaruhnya dalam kerjasama politik melibatkan Iran dan Lubnan.
Peristiwa menarik perhatian itu berlaku lapan hari selepas William Burns, Setiausaha Rendah Negara AS bagi Hal Ehwal Politik melawat Damsyik bertemu Bashar, dan sehari selepas Setiausaha Negara Hillary Clinton menggesa Syria menjauhkan diri daripada Iran serta menghentikan bantuan kepada Hizbullah yang dinilai sebagai kumpulan pengganas.
Pertemuan itu menunjukkan Syria masih belum menerima sepenuhnya tawaran-tawaran Washington untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara dan memberi sokongan kepada AS dan rancangannya di Asia Barat.
Syria bukan sahaja secara menunjuk-nunjuk mengadakan pertemuan yang menunjukkan keingkarannya terhadap pengaruh AS tetapi juga menyindir Clinton dalam satu ucapannya, selepas Syria dan Iran menandatangani perjanjian membatalkan visa antara kedua-dua negara.
Di dunia Arab, ada pihak mengkritik pertemuan itu, yang kelihatan diatur untuk tujuan politik serantau kuasa-kuasa terbabit. Mesir mengkritik pertemuan itu sebagai tidak selari dengan kepentingan dunia Arab dan menunjukkan Syria didominasi Iran.
Pertemuan itu selain menemukan pemimpin Hizbullah dengan presiden Iran juga melibatkan Khalid Mishaal, ketua politik Hamas yang berpejabat di Damsyik dan juga pertemuan Mahmoud dengan kumpulan-kumpulan Palestin selain Hamas, termasuk kumpulan berhaluan kiri. Iran ialah sebuah lagi negara yang memberi bantuan kepada Hamas dan Hizbullah.
Pertemuan itu selain menunjukkan pengaruh Syria di Asia Barat dan persaingan antara Washington dengan Tehran untuk memegang Damsyik, yang mempunyai hubungan baik dengan Iran tetapi pada masa sama mula terlibat dalam pemulihan hubungan dengan AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
AS melihat Syria sebagai negara yang boleh dijalankan rundingan kerana dilihat sebagai paling mampu untuk mengubah pendirian daripada berhubungan baik dengan Iran kepada AS, walaupun tahap hubungan baik dengan AS itu masih menjadi subjek tawar-menawar kedua-dua pihak.
Syria kelihatan sukar untuk mengurangkan bantuannya kepada Hizbullah kerana sokongan itu membolehkannya membina dan mengukuhkan pengaruh dalam politik Lubnan, negara yang dikuasai sejak kemasukan tenteranya ke negara kecil itu untuk membantu dalam perang saudara sehingga didesak berundur ekoran pembunuhan bekas perdana menteri Lubnan, Rafik al-Hariri pada Februari 2005.
Syria dituduh bertanggungjawab dan ekoran itu, hasil sokongan AS terutamanya, tenteranya yang menguasai Lubnan diundurkan daripada wilayah negara itu. Pengaruh Damsyik ke atas Lubnan merosot sejak itu tetapi ia meneruskan sokongan kepada Hizbullah dan bekerjasama dengan Iran.
Sepanjang sejarah, Syria sentiasa campur tangan dalam politik Lubnan. Sebelum Hizbullah ditubuhkan dan muncul sebagai satu entiti politik yang kredibel dan berpengaruh, Syria memberi sokongan kepada Amal, kumpulan Syiah yang muncul hasil kepimpinan politik Imam Musa al-Sadr, tokoh yang menggerakkan politik Syiah di Lubnan. (Walaupun sebelum ini bersaing menarik sokongan penduduk Syiah di selatan Lubnan, Amal kini bekerjasama dalam banyak hal dengan Hizbullah.)
Dalam hal ini, Syria kemungkinan melihat kerjasama dengan Hizbullah, Hamas dan Iran sebagai sesuatu yang penting dalam mengekalkan pengaruhnya di Asia Barat. Kepentingan politik serantau ini menjadikan kerjasama dan hubungan baik dengan kumpulan-kumpulan itu dan Iran sebagai sesuatu yang sukar untuk dikorbankan.
AS juga belum memberikan tawaran yang benar-benar menarik kepada Syria, seperti melibatkan isu-isu wilayah dengan Israel, sekutu kuat AS. Syria dilaporkan mahu hubungan yang lebih istimewa dengan AS dan bukan sekadar hubungan yang baik.
Hubungan baik Washington dengan rejim Zionis itu menjadi satu penghalang kepada Syria untuk menerima tawaran-tawaran AS. Dalam hal ini, penting bagi Syria meneruskan hubungan dengan musuh Israel; Hizbullah, Hamas dan Iran.
Washington sukar untuk menjejaskan hubungannya dengan Israel, sama seperti sukar untuk Damsyik menamakan hubungan baik dengan Iran dan sokongan kepada kumpulan-kumpulan yang menentang Israel.
AS sejak beberapa minggu lalu meningkatkan desakannya kepada Syria untuk mengubah pendirian dalam beberapa isu termasuk membekalkan senjata kepada Hizbullah. Beberapa lawatan dan pertemuan diadakan untuk mencapai tujuan itu, termasuk lawatan Senator John Kerry, pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat ke Damsyik 21 Februari lalu.
Satu lagi pertemuan menarik ialah antara Penolong Setiausaha Negara Jeffrey Feltman - bekas duta AS di Beirut semasa pentadbiran Presiden George W Bush - dengan Duta Syria ke Washington, Emad Mustafa. Dilaporkan antara yang disampaikan dalam pertemuan itu ialah desakan agar Syria menghentikan campurtangan dalam politik Lubnan.
Feltman ialah tokoh penting dalam pelaksanaan dasar luar AS di Asia Barat terutama melibatkan Lubnan dan kini Syria. Beliau menjadi pemain penting dalam politik Lubnan semasa perkhidmatanya di Beirut.
Walau bagaimanapun, proses tawar-menawar masih diteruskan, dan pertemuan berprofil tinggi itu tidak mustahil ialah satu isyarat daripada Damsyik agar AS memberikan tawaran yang lebih menarik.
Tekanan dalam negara di AS juga berpotensi menyumbang kepada proses rundingan Washington dengan Damsyik ini. Baru-baru ini, lapan Senator Republikan mengutus surat kepada Clinton mendesaknya membatalkan penghantaran duta ke Damsyik ekoran pertemuan Bashar dengan pemimpin Iran dan Hizbullah.
Kumpulan senator itu mengkritik tindakan menghantar duta ke Damsyik itu sebagai memberikan keabsahan kepada Syria dalam politik antarabangsa, dan merugikan AS. Hal ini menunjukkan percaturan dengan Syria ini bakal mendatangkan kesan kepada pentadbiran Obama.
Perkembangan melibatkan Syria selepas ini akan menunjukkan sejauh mana kejayaan AS dalam proses tawar-menawarnya dengan kerajaan Bashar, dan menunjukkan juga kebijaksanaan Damsyik menangani tekanan AS dan menjaga hubunganya dengan Iran dan kumpulan Hizbullah dan Hamas yang penting kepada agendanya di rantau Asia Barat.
http://politikpop.blogspot.com/
Ahad, 21 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan