CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Isnin, 19 April 2010

Sekolah Kafa perlu dana baiki prasarana

Sumber : Sinar Harian

Meskipun terletak di kawasan berdekatan pusat bandar namun sebuah sekolah agama dekat Bandar Kinrara, Puchong di sini jauh ketinggalan dari segi prasarana bagi memberi kemudahan kepada kira-kira 900 muridnya. Lebih memilukan sekolah yang pada mulanya ditempatkan di rumah sewa sebelum dipindahkan ke rumah kongsi yang sebelum itu didiami bekas pekerja pembinaan tidak mendapat pembiayaan penuh daripada mana-mana agensi untuk kerja naik taraf. Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa memohon bantuan daripada beberapa agensi dalam usaha memberi kemudahan yang lebih sempurna kepada warga sekolah itu.

Keadaan kantinnya boleh digambarkan seolah-olah seperti warung lama yang daif dengan meja yang hampir reput dan kerusi lama terpaksa digunakan berikutan kos membaik pulih masih belum diperoleh pihak sekolah.

Malah lebih menyedihkan kantin itu juga tidak berbumbung, pihak sekolah terpaksa menggunakan kanopi untuk murid berteduh dari hujan dan panas ketika menjamu selera di situ.

Sekolah yang dibina dalam usaha memberi pendidikan agama kepada anak-anak penduduk itu turut menempatkan transit, namun pihak sekolah mengakui terpaksa menagih simpati bebe-rapa pihak dalam menyedia- kan kemudahan terbaik kepada warganya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kafa Integrasi Al Misbah Bandar Kinrara, Mohd Zulhaizan Moh Noor berkata, sekolah berkenaan diuruskan dengan permuafakatan PIBG dan guru.

Katanya, masalah utama yang dihadapi pihak sekolah sehingga kini adalah kekurangan kelas berikutan pertambahan jumlah murid dari tahun ke tahun.

“Alatan prasarana kita memang tidak sempurna menyebabkan sesetengah kemudahan kesela-matan seperti pagar yang daif dan sebagainya terpaksa terus digunakan kerana kekurangan kos.

“Selama ini, perjalanan pentadbiran kos sekolah ini bergantung kepada sumbangan orang ramai dan ibu bapa selain bayaran yuran RM32 yang dibayar setiap murid,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah memerlukan bangunan tambahan bagi memberi keselesaan kepada murid apatah lagi kemudahan lama yang dibina sejak 11 tahun lalu sudah tidak dapat menampung pertambahan jumlah murid.

“Disebabkan kekurangan kelas, kita hanya dapat menawarkan kelas pembelajaran asas kepada murid tetapi tidak dapat memenuhi kemudahan lain termasuk menyediakan kelas pemulihan.

“Ini kerana kelas pemulihan perlu untuk murid-murid yang agak lemah dan perlu diberi fokus terutama yang tidak pandai membaca tulisan jawi,” katanya.

Beberapa kali sekolah dinaiki air

Sementara itu, Mohd Zulhaizan berkata, selain masalah kemu- dahan yang tidak cukup, sekolah juga berhadapan masalah perparitan apabila kelas beberapa kali dinaiki air.

“Dengan bantuan ibu bapa, kami mengambil inisiatif menggali sendiri longkang untuk memudahkan pengaliran air dan mengelakkan ia bertakung dan melimpah masuk ke dalam kelas.

“Sekolah memerlukan peruntukan hampir RM500,000 termasuk bagi pembinaan bangunan tambahan tiga tingkat, baik pulih tandas, penambahbaikan surau, baik pulih pagar dan menaik taraf kantin sekolah,” katanya.

Menurutnya, bagi bangunan tambahan, pihaknya berharap pembinaannya dengan kos RM400,000 itu membolehkan murid belajar dalam keadaan yang lebih selesa.

“Kerja-kerja lain seperti membaik pulih tandas perlu dijalankan kerana pihak sekolah mendapati air najis melimpah keluar apabila tangki penuh dan keadaan itu menyebabkan penduduk sekitar tidak selesa dengan bau busuk.

“Selain itu, surau juga perlu dibaiki kerana sudah uzur dan menjejaskan keselamatan murid serta kakitangan kerana kemudahan itu digunakan setiap hari,” katanya yang memaklumkan bumbung rosak dan bocor sebelum ini mendapat keprihatinan sebuah syarikat yang membiayai kerja baik pulih bumbung itu pada cuti sekolah yang lalu.

Dalam pada itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Noorasimah Abdul Halim berkata, sekolah berkenaan menjadi pusat penyebaran pendidikan agama kepada murid yang tinggal di kawasan Puchong, Kinrara dan juga Bukit Jalil.

“Selama ini kita bergantung kepada yuran dan derma orang ramai, malah ada antara syarikat yang menghulurkan bantuan sekiranya permohonan dibuat.

“Kita mempunyai beberapa perancangan pembangunan sekolah, namun akibat kekangan kewangan menjadi halangan ia sukar dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata, buat masa terdekat ini pihaknya berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan bagi membaik pulih pagar sekolah kerana mendakwa haiwan liar sering memasuki kawasan itu.

“Pagar yang sedia ada sudah terlalu daif dan sesetengahnya tidak lagi berpagar menyebabkan anjing liar memasuki sekolah dan mengotori kawasan sekolah den-gan najis haiwan berkenaan.

“Oleh itu, sumbangan orang ramai dan agensi berkenaan sangat dialu-alukan demi kemudahan dan keselesaan murid,” katanya.

ADUN turun padang beri sumbangan

Atas desakan selepas menerima permohonan bantuan daripada sekolah itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Teresa Kok Suh Sim yang prihatin dengan masalah itu turun padang dan memberi sumbangan bagi meringankan beban pihak sekolah.

Bantuan sebanyak RM5,000 dihulurkan bagi membantu kerja-kerja membaiki kemudahan rosak selain berjanji bantuan susulan diberikan kemudian.

Dalam kunjungan itu, Teresa turut menyerahkan bekalan beras kepada PIBG untuk diagihkan kepada pelajar miskin yang dikenal pasti pihak sekolah.

1 ulasan:

  1. Tahniah kpd pentadbir surau yg mempunyai visi umat sanggup berusaha menyediakan sekolah KAFA utk pewaris agama dlm keadaan serba kekurangan supaya generasi akan dtg faham agama. InsyaAllah segala usaha ikhlas akan diberi pahala oleh Allah. Nah, keperluan yg sama juga wujud di Berjaya Park. Diharap JK baru tidak melepaskan peluang berjihad membangun sekolah KAFA utk anak2 kita.

    BalasPadam