CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Sabtu, 22 Mei 2010

Bermula perjalanan Imam Muda

Sumber : Sinar Harian

Pencarian selama dua bulan akhirnya terjawab apabila 10 calon akhir dipilih untuk menyertai program realiti terbaru Astro Oasis iaitu Imam Muda.

Walaupun baru pertama kali diperkenalkan, program seumpama ini telah mendapat respons yang begitu membanggakan. Lebih seribu orang mencuba nasib pada sesi uji bakat yang di adakan di empat buah zon di seluruh negeri.

Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar tidak menyangka program yang baru pertama kali diperkenalkan menerima respons luar jangkaan.

“Astro Oasis sememangnya amat sinonim dengan penerbitan program-program yang mempunyai unsur-unsur pembelajaran dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah. Jadi dengan wujudnya program realiti seperti Imam Muda ini membuktikan, masyarakat kita sudah boleh membuka mata dan menerima program seumpama ini kerana ini bukanlah program biasa, tetapi yang pertama kali di adakan,” katanya pada majlis memperkenalkan calon akhir di Hotel Palace Of Golden Horses, kelmarin.

Izelan berkata, peserta yang datang mencuba nasib menepati kriteria yang ditetapkan, namun hanya 10 terbaik yang dipilih. Semua calon ini akan mendapat bimbingan di bawah pengurusan pengetua serta dua mentor.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Al Hafiz dipilih menjadi pengetua di samping Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi dan Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus sebagai mentor. Program ini juga akan dihoskan oleh Ustaz Dzulkarnain Hamzah yang popular dengan rancangan Kalam Suci.

Calon ini akan ditempatkan di asrama Majlis Wilayah Persekutuan selama 3 bulan dan akan menjalani ujian sebelum layak bergelar imam muda. Pelbagai aspek akan diberi tekanan, termasuk menjalani ujian bertulis yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Tiada undian SMS



Walaupun ia program realiti, namun tidak akan ada sistem undian khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti rangkaian program realiti lain.

“Kita tak mahu nasib 10 peserta ini di tangan penonton. Ini adalah program agama. Jadi, kita perlu jalankan ujian terhadap mereka. Penonton hanya boleh menonton bukan untuk mengundi. Program ini adalah mencari imam muda yang benar-benar berbakat bukan hanya popular sahaja.

“Calon-calon yang tidak mencapai tahap yang diinginkan, mereka tidak disingkirkan tetapi tidak layak untuk ke tahap seterusnya. Kita tidak mahu apabila disebut penyingkiran akan ada yang mengatakan mereka tidak bagus.

“Kita akan mengelakkan perkara sebegitu sebaliknya hanya mereka yang tidak lepas ujian akan diberikan kelas lain sahaja,” katanya.

Selain bersiaran di saluran rasmi Astro Oasis (saluran 106), program Imam Muda turut disiarkan secara langsung di Saluran Astro Ria, Astro Prima dan Astro @15 pada 28 Mei ini.

Semua sepuluh calon akhir ini adalah mereka yang lahir daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya. Imam Muda akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat jam 9 malam. Selain itu, kapsul Imam Muda akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis jam 6.55 petang.

Pemenang pada musim pertama ini mendapat peluang melanjutkan pengajian selama 4 tahun di Universiti Madinah dan akan ditanggung Yayasan Antarabangsa Madinah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan