CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Sabtu, 22 Mei 2010

Hizbollah sedia lancar perang terhadap Israel

Sumber : Tranungkite

Pejuang veteran, Abu Hadi ketika memandu menyusuri kubu kuat Hizbollah di lembah Bekaa, Lebanon sempat berbicara mengenai kecanggihan ketenteraan kumpulan itu sejak kali terakhir berperang dengan Israel pada 2006.

"Saya percaya kekuatan ketenteraan kami kini jauh lebih baik. Kami ada banyak kejutan untuk Israel," katanya.

Selepas hampir empat tahun perjuangan Hizbollah menentang pencerobohan askar Zionis di selatan Lubnan menemui jalan buntu, mereka kini sudah bersiap sedia menghadapi perang baru dan lebih yakin untuk menang.

"Kami sudah bersedia untuk berperang. Malahan kami tidak sabar menantikannya," kata Abu Hadi.

"Selepas ini, perang dijangka mengambil masa pendek kerana rejim Yahudi tidak akan mampu bertahan daripada serangan kami," katanya.

Kepimpinan Hizbollah menegaskan kumpulan itu tidak menuntut perang berlaku.

Sebaliknya, persiapan ketenteraan mereka adalah sebagai tindakan mempertahankan diri jika diserang askar Israel.

Tambahan lagi, perang Hizbollah-Israel pada 2006 yang terhenti tanpa sebarang keputusan dicapai memarakkan lagi sentimen bahawa satu lagi peperangan adalah tidak dapat dielakkan.

Sejak beberapa minggu lalu, spekulasi mengenai kemungkinan peperangan kedua tercetus semakin menular berikutan tuduhan yang mengaitkan Syria sebagai pembekal peluru berpandu Scud kepada Hizbollah.

Perkembangan terbaru itu membimbangkan Tel Aviv dengan memaksa pemimpin Lebanon mendapatkan sokongan antarabangsa.

Ia turut menyukarkan usaha memulihkan hubungan baik antara Amerika Syarikat (AS) dan Syria.

Pada awal bulan ini, Presiden AS, Barack Obama memperbaharui sekatan ke atas Syria selama setahun kerana berterusan menyokong Hizbollah dan memburu program senjata pemusnah besar-besaran dan peluru berpandu.

Kubu kuat Hizbollah di Lembah Bekaa dijangka menjadi antara barisan pertahanan hadapan ketika berperang dengan Israel pada masa akan datang.

Hizbollah mendakwa pengajaran yang diperoleh semasa perang lalu menjadikan mereka lebih bijak mengatur taktik di medan perang.

Ini termasuk memiliki sistem senjata lebih baik termasuk roket dan peluru berpandu canggih.

Ramai penganalisis percaya perang seterusnya tidak hanya membabitkan Hizbollah dan Israel tetapi turut melibatkan Syria, termasuk Iran dalam mempertahankan kemakmuran di Timur Tengah.

Pemimpin-pemimpin Hizbollah pula berpendapat perang terbaru itu akan berlaku dalam skala cukup besar dan kuat yang mampu mengubah kestabilan geopolitik di rantau itu.

Ketua Hizbollah, Sheikh Hassan Nasrallah baru-baru ini menyifatkan perang seperti itu mampu mengubah setiap penjuru Timur Tengah.

Tidak dapat dinafikan, Hizbollah dan Israel menghadapi pertaruhan besar dalam perang terbaru nanti sehingga persediaan ketenteraan kedua-dua pihak menghalang mereka daripada mengambil tindakan terburu-buru.

"Saya tidak yakin akan berlaku perang baru kerana terlalu banyak kepentingan dipertaruhkan oleh semua pihak," kata pegawai tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon, Michael Williams.

Ketegangan terbaru itu tercetus apabila Israel menuduh Hizbollah memiliki peluru berpandu Scud.

Pegawai-pegawai AS pula menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan senjata canggih Hizbollah yang didakwa mampu merentasi sempadan daripada Syria ke Lebanon.

Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates berkata, Hizbollah mempunyai banyak roket dan peluru berpandu berbanding kebanyakan negara lain di dunia dan ini dikhuatiri menjejaskan kestabilan Timur Tengah.

Bagaimanapun, Hizbollah enggan mengakui atau menafikan laporan tersebut tetapi terus memasang keazaman tinggi untuk berperang dengan Israel apabila tiba masanya nanti.

"Perhatikan kawasan sekeliling kamu baik-baik. Selepas ini, semua ini akan musnah. Kami boleh membina semula penempatan kami kerana maruah lebih penting," kata Abu Hadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan