
Sumber : Sinar Harian
PENDUDUK Palestin di Genting Gaza menyambut Aidiladha dalam suasana sukar berikutan sekatan yang dikenakan Israel ke atas wilayah itu.
Masalah kebuluran juga semakin meningkat dan kebanyakan penduduk tidak mampu untuk membeli seekor kambing.
"Saya mencari seekor kambing murah sejak awal pagi. Seekor kambing berharga 180 dinar (RM948) tetapi saya masih tidak mampu membelinya dan masih mencari kambing lain," kata seorang penduduk, Abu Razzaq Abu Etawi.
Dia kini cuba mendapatkan seekor kambing di sebuah pasar ternakan di kem pelarian Alburaij, tengah Gaza.
Abu Razzaq adalah antara sekian banyak penduduk Gaza yang cuba tawar menawar dengan penjual-penjual ternakan di pasar dalam usaha mendapatkan barangan pada harga rendah.
Peniaga pula, sama ada kecil atau besar, kelihatan merayu pelanggan untuk melihat dan membeli ternakan yang dijual mereka.
"Saya mula berniaga sejak awal pagi. Tetapi saya hanya dapat menjual tiga daripada 40 kambing yang saya miliki. Kami berharap jualan akan meningkat apabila kakitangan kerajaan mendapat gaji tidak lama lagi," kata seorang peniaga, Marwan Abu Medain.
Peniaga-peniaga lain dari kem Jabalya di utara Gaza pula mengambil keputusan untuk kekal di pasar tersebut dengan harapan dapat menjual ternakan masing-masing di situ.
"Harga ternakan sangat mahal dan ramai penduduk tidak mampu. Sukar berniaga dalam keadaan ini. Makanan untuk ternakan juga dijual pada harga mahal kerana sempadan ditutup sejak tiga tahun lalu," kata peniaga ternakan, Ahmad Sa'adallah.
Penduduk Khan Younis di selatan Gaza, Kamel Abu Jazzar turut mengaku tidak mampu melaksanakan ibadat korban seperti beberapa tahun lalu.
Beliau menjelaskan tidak lagi mampu membeli seekor kambing untuk Aidiladha akibat krisis kemanusiaan di Gaza.
"Beberapa minggu lalu harga daging agak murah tetapi saya masih tidak mampu membelinya," katanya.
Penjual daging dan pemilik restoran di bandar raya Gaza, Atiya Alshawa mengadu penduduk Gaza kini tidak mampu membeli daging lembu sejak tiga tahun lalu. Sebaliknya, kebanyakan penduduk beralih membeli daging beku pada harga murah.
"Saya sudah menjalankan perniagaan ini hampir 20 tahun. Sejak tiga tahun lalu, kurang 30 peratus pelanggan saya mampu membeli daging. Sebelum sekatan Israel, saya dapat menjual sekurang-kurangnya 200 kilogram (kg) daging. Tetapi sekarang, mahu menjual 40 kg daging sehari pun sangat sukar," katanya.
Menurutnya, jumlah lembu yang dibenarkan dibawa masuk ke Gaza dari semasa ke semasa tidak memenuhi keperluan penduduk.
Atiya berkata, jumlah pelanggan yang memasuki kedainya juga semakin berkurangan.
Pelanggan kedai Atiya, Ehab Ahmad turut mengadu mengenai harga daging yang melambung tinggi.
Menurutnya, sebelum harga daging meningkat beberapa tahun lalu, dia dan keluarganya mampu membeli sekurang-kurangnya 6 kg daging setiap minggu. Namun sekarang dia hanya mampu membeli 2 kg daging.
Sepanjang dua minggu lalu, pihak berkuasa Israel membenarkan lebih 4,000 lembu dibawa masuk ke Gaza. Kebenaran tersebut cuma kelonggaran kecil yang diberikan Israel sejak 2007. Bagaimanapun, pihak berkuasa pertanian di Gaza mendakwa jumlah tersebut masih tidak mampu memenuhi keperluan penduduk wilayah berkenaan terutama menjelang Aidiladha.
Penolong Timbalan Menteri Pertanian Gaza, Dr Ibrahim Algedra berkata, sejak 2007, Israel menyekat kemasukan haiwan ternakan ke wilayah ini dan sumber protein lain juga sukar didapati. Menurutnya, pihak berkuasa Israel membenarkan kemasukan haiwan ternakan ke Genting Gaza dalam kuantiti terhad sepanjang tiga tahun lalu.
"Selepas mendapat tekanan pertubuhan antarabangsa, Israel membenarkan 4,000 lembu dibawa masuk ke wilayah itu sejak dua minggu lalu. Tetapi itu masih tidak cukup kerana kami memerlukan 1,500 lembu dan 20,000 haiwan ternakan lain sempena Aidiladha," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 70 peratus jumlah lembu yang dibawa masuk sudah dihabiskan oleh penduduk Gaza ketika ini.
Dr Ibrahim ketika ditanya mengenai usaha Kementerian Pertanian untuk bergantung kepada pengeluaran ternakan tempatan berkata, kemampuan pihak kementerian sangat terhad berikutan penutupan sempadan.
Malah, ternakan yang diseludup melalui terowong bawah tanah di sempadan Gaza-Mesir juga masih tidak mampu untuk menampung keperluan penduduk.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza dengan menutup enam pintu sempadan utama dan membenarkan sedikit barangan keperluan dan komoditi dibawa masuk ke wilayah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan