SHAH ALAM – Kadar mas kahwin di Selangor akan ditetapkan kepada

minima RM300 bagi anak dara dan janda, berkuat kuasa mulai Januari 2010.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, kadar mas kahwin di Selangor telah dipinda dan telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, kadar yang ditetapkan ketika ini adalah sebanyak RM80 dan peningkatan kepada RM300 (minima) adalah berse suaian memandangkan kadar lama itu dilihat sebagai tidak lagi sesuai.
“Kita rasa kadar RM80 sudah lama dan tidak sesuai, takkan kita menilai seorang isteri dengan kadar RM80. Bahkan tidak ada perbezaan di antara nilai mas kahwin antara janda dan anak dara.
“Pada saya RM300 masih rendah tetapi untuk meraikan semua lapisan masyarakat, kita berpendapat RM300 ialah kadar yang munasabah, tetapi kalau nak bagi lebih tidak ada masalah.
“Setakat ini tidak ada bantahan berhubung penetapan kadar baru itu, bahkan tidak sewajarnya timbul bantahan mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kad Perakuan Nikah Pintar, negeri Selangor, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga, Aluwi Parman.
Sementara itu, menurut Khusrin, sebanyak 300 permohonan membuat Kad Perakuan Nikah Pintar yang berteknologi, diterima Jais sejak ia mula diperkenalkan di Selangor 1 Disember lalu.
“Pelancaran Kad Per akuan Nikah Pintar ini bertujuan menggantikan kad nikah yang digunakan sebelum ini. Ia mempunyai lebih ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan daripada peniruan, pemalsuan dan sebagainya.
“Cip di dalam kad ini dapat menyimpan maklumat perkahwinan setiap individu, antaranya mengenai tarikh dan tempat nikah. Ia memudahkan pasangan yang telah berkahwin untuk membawa kad ini ke mana mereka pergi, bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya.
Tambah beliau, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Perak dan Terengganu telah melaksanakan sistem yang sama, yang mana kadar bayaran yang dikenakan untuk membuat kad pera kuan nikah di Terengganu ialah RM35, Perak (RM40), Kelantan (RM30), dan Selangor (RM40).
“Justeru, kita berharap agar negeri lain juga akan memperkenalkan dan melaksanakan sistem yang sama, bagi memudahkan umat Islam dalam soal nikah cerai.
“Bagaimanapun, kadar yang ditetapkan di setiap negeri berbeza bergantung kepada negeri masing- masing, dan kita meletakkan kadar yang berpatutan, bersesuaian dengan kos penyediaan kad itu,” katanya yang berharap agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menyelaraskan sistem ini di semua negeri.
Difahamkan, Jais mengadakan perjanjian dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan Kad Perakuan Nikah Pintar itu dibaca melalui Terminal Mudah Alih di negeri masing-masing.
Menurut Khusrin, tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan untuk penduduk negeri ini memohon untuk membuat kad perakuan nikah yang baru.
“Setiap pasangan yang menikah di Selangor tidak diwajibkan membuat kad ini, cuma kita menggalakkan supaya mereka membuat kad ini untuk kemuda han mereka sendiri.
“Permohonan boleh dibuat di daerah masing- masing dan dalam tempoh lima hari bekerja, pemohon boleh mengambil kad mereka di mana permohonan itu dibuat,” katanya yang memaklumkan pindaan untuk mewajibkan penduduk Selangor membuat kad perakuan nikah yang baru, akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan