Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mensasarkan jumlah Kes Syariah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 ini dapat diturunkan jumlahnya menjelang tahun 2010 agar institusi Islam negeri ini semakin kukuh.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Hidayat Abdul Rani berkata, Jais sememangnya berharap agar pentadbiran serta penyelarasan jabatan pada tahun akan datang lebih baik dari tahun ini.
Menurutnya, harapan berkenaan dapat dirialisasikan sekiranya semua pihak yang berkaitan termasuk masyarakat di negeri ini saling bekerjasama bagi membendung gejala negatif berkaitan jenayah syariah dari terus berleluasa di negeri ini.
“Pengurusan lebih baik dalam mentadbir Agama Islam negeri ini dalam menurunkan kadar kes jenayah syariah amat disarankan agar melambangkan keutuhan sesuatu masyarakat negeri Selangor ini.
“Setiap kalendar baru, kebanyakan pihak mengharapkan pengurusan lebih baik terutama demi kepentingan masyarakat agar kebajikan mereka terjamin khasnya kepada umat Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Ketika ditanya mengenai antara kes yang berjaya diselesaikan pada tahun ini beliau berkata, antaranya adalah mengenai isu ajaran sesat ‘Rasul Melayu’ Kahar Ahmad sehingga beliau dipenjarakan selama 10 tahun akibat perbuatannya itu.
“Selain itu, kes-kes kekeluargaan seperti nikah cerai, penderaan, masalah rumah tangga, sumbang mahram juga kebanyakannya telah berjaya diselesaikan oleh Jais.
“Kebanyakan kes syariah berjaya diselesaikan pada tahun ini adalah hasil kerjasama semua pihak antara pihak Jais dengan pihak yang bermasalah untuk menyelesaikan secara baik,” katanya.
Hidayat berkata, ada juga kes yang masih belum berjaya diselesaikan kerana masih menunggu perbicaraan di mahkamah.
“Antaranya kes melibatkan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan kerana memberi dakwah tanpa memiliki surat tauliah dari Jais baru-baru ini.
“Di samping itu juga, kes melibatkan pelakon popular Norman Hakim dengan Memey Suhaiza yang ditangkap kerana dipercayai melakukan khalwat juga masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya.
Oleh itu katanya, disebabkan kes-kes jenayah syariah berkenaan dibawa ke mahkamah, maka prosesnya memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan pada tahun ini juga.
“Namun, kes-kes berkenaan dijangka akan dapat diselesaikan wal tahun hadapan,” katanya.
Khamis, 31 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan