CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Selasa, 29 Disember 2009

KISAH ABU DZAR

Setelah sekian lama meredah padang pasir yang kontang dan panas membara, akhirnya Abu Dzar al Ghifari tiba dengan penuh keletihan di kota Mekah. Tanpa bertangguh-tangguh ia mula mendekati kelompok-kelompok orang yang berkumpul di kota suci itu. Telinganya di pasang lebar untuk mencuri dengar apa pertuturan dan cerita-cerita yang mereka bicarakan. Hanya satu yang menjadi hasrat telinganya mendengar dan hatinya ingin ketahui, di mana dia boleh menemui seseorang yang didengar berita olehnya mengaku menjadi utusan Allah.

Dari jauh ia datang, kerana dibawa suara hatinya untuk mengetahui dan mendengar dengan telinganya sendiri perihal ajaran yang dilaungkan oleh insan yang mendakwa sebagai utusan Allah itu. Telah sekian lama ia menyimpan hasrat yang membuak-buak di dada. Keinginan yang membara itu mengikis selera makan minumnya saban hari, membuat matanya tidak terpejam sepanjang malam dan terasa sempit dunia ini di hatinya. Segala keinginan yang besar itu menjadi bekal untuk kakinya menapak membelah hamparan padang pasir yang panas membara, menuju hidayah yang memancar jauh.

Akhirnya, ia dapat mengenggam maklumat tentang orang yang ia cari selamanya ini. Betapa gembira hatinya apabila bersua muka dengan Muhammad, Rasulullah saw buat pertama kalinya. Mendengar butiran mutiara-mutiara wahyu yang diperdengarkan kepadanya oleh Rasulullah saw, yang tidak pernah ucapan seperti itu didengar oleh telinganya selama ini, menyebabkan hatinya, jiwanya, akal dan nalurinya tersungkur sujud kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tanpa berlengah ia berlari kepada Tuhannya untuk menyerahkan seluruh hidup dan matinya kepada Rabbul ‘alamin.

Rasulullah bertanya kepadanya : wahai saudaraku, kamu ini dari kabilah mana ?

Abu Dzar menjawab : aku dari kabilah bani Ghifar, ya Rasulullah.

Terpegun dan kaget seketika Rasulullah, sebelum mulut baginda saw menyebut : Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Betapa tidak mengagetkan, Abu Dzar adalah dari kabilah Bani Ghifar ! Suku kaum yang terkenal di sekitar tanah Arab. Terkenal dengan kekuatan fizikalnya. Terkenal dengan gedeber, bengis, berani, kejam dan berbagai kerja-kerja menganasi manusia lain. Kalau ada di kalangan mereka ini yang datang bersujud kepada Islam, tidaklah menghairankan jika ianya mengagetkan Rasulullah saw. Semacam jadi sebuah pepatah : Kalau nak diharapkan orang Ghifar menerima Islam, barangkali unta mereka dululah yang akan masuk Islam sebelum mereka. Begitulah lebih kurang tipisnya harapan umat Islam ketika itu untuk mengislamkan bani Ghifar.

Setelah memeluk Islam, Abu Dzar kembali ke kabilahnya di tengah belantara pasir dengan membawa amanah dakwah yang amat besar.

Babak dua : Madinah

Sewaktu kota Madinah berada dalam keadaan cemas dan curiga dengan ancaman musuh dari luar, di suatu petang yang panas terik, tiba-tiba penduduk Madinah gempar apabila terlihat oleh mereka kepulan debu yang berterbangan tinggi dan suara derapan kaki haiwan dan manusia menapak menghampiri kota Rasulullah saw itu. Melihat kepada kepulan debu itu, ternyata satu kafilah besar sedang menuju Madinah. Penduduk Madinah mendatangi Rasulullah saw dan mereka bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Namun, kebimbangan mereka agak reda kerana terdengar laungan takbir bersahut-sahutan dari kafilah tersebut. Setelah kafilah tersebut hampiri kota, mereka mengenali pemimpin kafilah tersebut. Kegusaran Rasulullah dan para sahabat bertukar menjadi kegembiraan dan kebahgiaan yang tidak terhingga. Bila berhadapan dengan Rasulullah, Abu Dzar tampil berkata :

Ya Rasulullah, ini ku bawakan kepadamu seluruh kaum ku, bani Ghifar dan bani Aslam.

Bercucuran airmata Rasulullah dan para sahabat menerima kedatangan Abu Dzar dan kaumnya yang telah menerima Islam di tangan Abu Dzar.

Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Ia kehendaki.

Babak ketiga : Tabuk

Pasukan mujahidin yang dipimpin oleh Rasulullah semakin menghampiri Tabuk setelah berhari-hari menempuh perjalanan yang amat memayahkan. Dalam perjalanan ke perang Tabuk (yang tak jadi berlaku) ini, para munafiqun ramai yang memberi alasan untuk tidak ikut serta. Terdapat juga beberapa orang sahabat yang ketinggalan. Sewaktu berehat untuk bermalam berhampiran Tabuk, para sahabat memberitahu Rasulullah saw bahawa mereka tidak nampak kelibat Abu Dzar. Mereka beranggapan Abu Dzar mungkin termasuk orang yang tertinggal.

Dalam remang cahaya mentari petang yang mula berlabuh, terlihat dari jauh sebatang tubuh yang longlai berjalan kaki dan memikul bekalan yang berat, berseorangan, menghampiri pasukan yang sedang berkhemah.

Para sahabat mendatangi Rasulullah memaklumkan : Ya Rasulullah, Abu Dzar telah tiba, memikul bekalannya berseorangan.

Abu Dzar pada asalnya berkenderaan unta di bahagian belakang pasukan mujahidin tersebut. Namun di pertengahan jalan, untanya ditimpa sakit dan tidak mampu berjalan pantas dan menyaingi pasukan yang terus berjalan. Abu Dzar mengambil keputusan untuk memikul sendiri bekalan yang ia bawa dan meninggalkan untanya untuk terus berjalan kaki menjejaki pasukan yang telah mendahuluinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan