Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya memperoleh kutipan zakat sebanyak RM238 juta melepasi sasaran kutipan iaitu sebanyak RM235 juta bagi tahun ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat serta melebihi angka tersebut.
“Sehingga hari ini (semalam) kita berjaya melepasi sasaran kutipan yang kita jangka.
“Bagaimanapun, kita percaya kutipan itu dijangka meningkat memandangkan kita akan memperluaskan lagi kutipan dan usaha untuk menggalakkan lebih ramai individu serta syarikat korporat membayar zakat terbabit,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri majlis penyerahan zakat perniagaan yang diadakan di sini semalam.
Beliau berkata, LZS turut berjaya mencatatkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM48 juta melebihi jumlah kutipan yang dibuat pada tahun 2008 iaitu sebanyak RM46.1 juta.
Beliau berkata, LZS juga yakin akan mencatatkan pertambahan dalam bilangan pembayar zakat perniagaan memandangkan sehingga November tahun ini, jumlah yang dicatatkan adalah seramai 2,762 orang.
“Menunaikan zakat merupakan rukun Islam ketiga yang diwajibkan kepada mereka yang cukup syarat termasuklah zakat perniagaan iaitu bersamaan 2.5 peratus daripada harta perniagaan.
“Oleh itu, saya menyeru agar kita sama-sama menanamkan iltizam untuk terus menjadi umat Islam yang sentiasa menunaikan zakat,” katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak RM347,401 zakat perniagaan diterima daripada empat syarikat.
Antaranya ialah Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad berjumlah RM161,729, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (RM150,922), Mais Construction & Properties Sdn Bhd (RM27,000) dan Bakti Suci-Nefro Utama Sdn Bhd (RM7,750).
Mohamad Adzib berkata, sistem bayaran zakat dalam talian iaitu e-zakat mendapat sambutan menggalakkan daripada pembayar zakat.
Katanya, melalui pelaksanaan sistem tersebut, pembayar zakat boleh menjalankan tanggungjawab mereka dengan pantas, selamat tanpa melibatkan penggunaan wang tunai.
Rabu, 30 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan