Sumber : Sinar Harian
GOMBAK - Dianggarkan 60 permohonan surau diluluskan untuk mengadakan solat Jumaat sepanjang tahun lalu di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali berkata, kelulusan dibuat berdasarkan penambahan penduduk Islam dan jumlah kawasan perumahan.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, pihaknya juga telah meluluskan lebih 20 permohonan untuk pembinaan surau termasuk di kawasan-kawasan perumahan bagi kemudahan umat Islam.
“Sepanjang tahun lalu kita telah mengadakan empat kali mesyuarat dan setiap kali mesyuarat kita akan luluskan 15 permohonan surau bagi memberi ruang mereka mengerjakan solat Jumaat di surau yang dipohon.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius kemudahan umat Islam ini dan berharap orang ramai dapat menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk mendekati diri dengan rumah ibadah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sesuatu pembinaan surau atau masjid perlu mendapat kebenaran dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta sokongan dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Orang Besar Daerah, Nazir-nazir masjid berdekatan termasuk kelulusan dari Pejabat Daerah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam satu kawasan itu.
Katanya, selain itu perkara yang diutamakan dalam pembinaan sesebuah tempat ibadah sama ada untuk orang Islam mahupun kaum lain adalah kesesuaian tempat itu agar tidak menimbulkan pelbagai masalah dan percanggahan pendapat di kemudian hari.
“Permohonan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan tidak ada masalah untuk kita memberi kelulusan namun jika tempat yang hendak dibina itu tidak bersesuaian kita tidak akan membenarkan tidak kira sama ada untuk membina surau mahupun tempat-tempat ibadah agama lain.
“Sesuatu permohonan pembinaan surau atau masjid akan dimajukan kepada Jais dan kemudian dibawa ke jawatankuasa Khairiah yang dipengerusikan oleh saya sendiri sebelum sebarang kelulusan diberikan,” katanya.
Ahad, 3 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan