CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Ahad, 3 Januari 2010

Permataku Cinta Solat didik akidah

Sumber : Sinar Harian

TASEK TAMBAHAN - Program Permataku Cinta Solat anjuran Bakewanis mampu mendidik akidah belia muda sejajar tuntutan Islam yang menekankan solat yang dilakukan dengan sempurna dapat mencegah dari kemungkaran.

Program yang turut mendapat kerjasama Masjid Ubudiah dan Nisa’ Ampang itu bertujuan memastikan kanak-kanak mengetahui kepentingan solat dan memastikan wuduk yang dilaksanakan sekali gus memperbaiki kesilapan yang biasa dilakukan dalam solat.

Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Hulu Langat, Musa Baharuddin berkata, program sebegini cukup baik kerana solat adalah tiang agama yang cukup penting dalam kehidupan seseorang.

“Program seperti ini perlu dan seharusnya diperbanyakkan dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis disempurnakan oleh Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ali Ahmad.

Dalam pada itu, seramai hampir 150 kanak-kanak sekitar Ampang menyertai program yang menyasarkan kanak-kanak yang berusia 7 hingga 12 tahun itu.

Program yang dipenuhi ilmu bermanfaat antaranya ceramah motivasi, rukun bacaan dalam solat, praktikal wuduk dan praktikal solat.

Sementara itu, Ali berkata, program sebegini bukan pertama kali diadakan, namun program sebegini dapat menunjukkan aktif atau fungsi sesebuah masjid itu.

“Selain dijadikan tempat bersolat, fungsi dan tanggungjawab dapat dilebarkan dalam mendidik umat Islam.

“Saya melihat Masjid Ubudiah antara masjid yang aktif dengan menganjurkan pelbagai program dan ceramah pada waktu siang dan juga malam,” katanya.

Katanya, diharap peserta terus konsisten dan jangan meninggalkan solat bagi mendapat impak dan ilmu yang baik.

“Walaupun ada segelintir peserta yang sekolah agama, program ini dilihat sebagai satu usaha dalam memantapkan lagi ilmu yang sedia ada.

“Selain itu, kita perlu mencari satu pendekatan bagi menarik golongan belia khususnya bagi mendekatkan lagi diri dalam program agama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan