KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Satu muzakarah pakar akan dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 21 Jan ini bagi mengupas isu penggunaan kalimah Allah yang hangat diperkatakan kini.
Ketua Pengarah Ikim Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata muzakarah secara tertutup itu yang bertajuk “Terjemahan ‘God’ sebagai Allah : Mengenal Pasti Pokok Permasalahan dan Penyelesaiannya” itu akan menghimpunkan semua mufti negeri, dekan fakulti/jabatan usuluddin institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peguam dan pegawai kanan Bahagian Syariah, Jabatan Peguam Negara.
Beliau memberitahu satu sidang akhbar di sini bahawa wakil-wakil parti politik serta para ilmuwan juga dijemput menghadirinya.
“Sekurang-kurangnya kita telah mencari titik pertemuan di kalangan parti-parti politik dan mereka yang lebih arif membincangkan isu ini. Kita mahu mereka berikan pandangan, cadangan atau hujahan yang boleh membantu menyelesaikannya,” katanya.
Nik Mustapha berkata pertemuan dengan wakil-wakil bukan Islam juga mungkin diadakan bagi mendengar pendapat mereka.
Isu itu timbul ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik menggunakan perkataan “Allah” sebagai terjemahan kepada perkataan “god” dalam terbitan edisi Melayunya, dan ini menimbulkan kemarahan umat Islam.
– BERNAMA
Khamis, 7 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan