Sumber : Tranungkite
Bila kita melangkah keluar dari kampus dengan gelar graduan, suatu fasa lama dalam hidup kita telah kita tinggalkan dan kita melangkah masuk ke fasa hidup yang lain pula. Meskipun setiap fasa itu mempunyai scenario yang tersendiri, namun scenario itu sentiasa bertaut rapat antara satu dengan yang lain. Acuan yang membentuk fiqrah dan keperibadian kita sewaktu di alam persekolahan contohnya, sedikit sebanyak akan turut mewarnai proses pembinaan fiqrah dan keperibadian kita sewaktu kita di alam kampus. Dan bila kita melangkah keluar dari kampus, kita akan masuk dalam scenario dan acuan yang baru. Situasi dan persekitaran yang tidak menentu pasti mendepani jalan hidup kita. Di sinilah pentingnya keupayaan dan kebijaksanaan kita untuk menangani atau mengurus perubahan yang melanda dalam hidup kita. Mungkin peringkat ini, tahap perubahannya akan lebih kompleks dan mencabar berbanding dengan perubahan yang telah kita tangani sewaktu di kampus. Perubahan pasti berlaku dalam setiap perubahan hari dalam hidup ini. Islam mengajar kita untuk sentiasa berubah kearah yang lebih baik setiap kali mentari baru menjelma dalam hari-hari hidup kita. Hari ini perlu lebih baik dari semalam dan esok perlu lebih baik dari hari ini. Prinsip ini perlu dipegang kukuh oleh kita semua.
Setiap graduan muda yang keluar dari kampus, perlu ada impian yang tinggi. Impian untuk cemerlang dalam kehidupan. Samada dalam bidang kerjaya, dalam Jamaah dan perjuangan, dalam keluarga, dalam masyarakat dan sebagainya. Gambaran betapa besarnya impak menjana impian dalam roda hidup dan perjuangan ialah yang terserlah dalam sirah Rasulullah saw sendiri. Lihat bagaimana Baginda menjanjikan gelang Raja Kisra kepada Suraqah bin Malik apabila sahabat itu memeluk Islam sewaktu Rasulullah dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Begitu juga sewaktu Baginda saw menjanjikan kejatuhan Rom dan Parsi sewaktu peristiwa membelah batu semasa pengalian parit untuk perang Khandak. Itulah pernyataan impian besar umat Islam pada masa itu untuk meneguhkan hati mereka tentang kemenangan Islam pada masa hadapan.
Kita membina impian di atas landasan yang kukuh dan benar. Kita telah diutus oleh Allah sebagai umat yang terbaik yang membawa agama yang menjadi rahmat bagi alam ini. Inilah intipati impian kita. Bina impian untuk hari depan kita. Bentuk dan kukuhkan impian itu dalam peta minda kita. Jangan tunggu esok untuk melangkah bagi mencapai impian itu. Apa jua halangan mendatang, ianya adalah cabaran dan ujian Allah untuk mendewasakan kita dalam hidup dan meningkatkan pahala bagi kita. Segala yang ada di sekeliling kita, adalah potensi medan perjuangan dan dakwah kita. Lihat secara positif segala scenario dan persekitaran yang mengelilingi kita. Ambil contoh kalau kita diberikan sebiji limau nipis. Persepsi pertama kita ialah buah limau nipis itu adalah amat masam dan tidak enak dimakan. Tapi kalau lihat secara positif, cuba ambil segelas air kosong, masukkan sedikit gula ke dalamnya dan perah limau nipis tadi ke dalam air itu. Masukkan pula ketulan ais. Limau yang masam kelat itu sudah bertukar menjadi ais limau yang amat enak. Kebijaksanaan untuk merubah situasi atau sesuatu yang masam atau pahit menjadi manis dan bermakna adalah suatu kelebihan yang perlu kita doakan agar Allah anugerahkan pada kita.
Bina impian kita untuk dakwah dan perjuangan. Mimpikan tempat dan sumbangan kita yang paling cemerlang dalam dakwah dan perjuangan ini. Bina impian untuk kecemerlangan kerjaya kita. Impian kita adalah untuk menjadi pekerja yang paling cemerlang. Tidak salah kalau kita bina impian untuk menjadi jutawan seperti Abdul Rahman bin Aus. Bina impian kita untuk memiliki keluarga paling bahgia di muka bumi ini. Dari impian inilah lahirnya misi, visi, prinsip hidup dan kenikmatan menempuh cabaran yang mantap dan kukuh. Bina impian untuk hari depan kita. Bina impian.Tetapi ingat, jangan tunggu esok untuk melangkah mencapai impian kita itu.
Dapatkan murabbi dan mentor dalam usaha mencapai impian kita. Selain mendoakan agar beroleh hidayah dari Allah, kita perlu bimbingan mereka yang berkelayakan untuk menjadi murabbi dan mentor dalam hidup kita. Murabbi boleh pimpinan jamaah, naqib kita atau sahabat-sahabat yang berilmu dan matang dalam perjuangan, atau suami kita, atau alim ulama muktabar yang memandu kita melalui ucapan dan tulisan-tulisan mereka. Murabbi adalah mereka yang akan sentiasa membimbing dan menyuntik inspirasi untuk ruhiyyah, fiqrah dan amal kita. Mentor pula adalah mereka yang membimbing dan memberi inspirasi kepada kita untuk cemerlang samada dalam hidup atau kerjaya.
Kita beruntung jika ditakdirkan memulakan hidup selepas bergraduan di persekitaran yang telah ada Jamaah yang aktif dan mantap. Lebih-lebih lagi berdekatan pula dengan bekas sahabat-sahabat Jamaah dari universiti yang sama atau pernah berkenalan di zaman kampus dahulu. Saluran untuk kita bergabung dengan Jamaah agak memudahkan. Samada senang atau susah, mengabungkan diri dengan Jamaah adalah suatu kewajiban yang paling penting selepas bergraduan. Mulakan pengabungan dengan langkah berkenal-kenalan dengan ahli Jamaah. Ziarahi para pimpinan Jamaah setempat untuk taaruf dan ikatan silatur rahim. Libatkan diri dengan usrah dan lain-lain aktiviti tarbiyyah. Tawarkan diri untuk melakukan kerja-kerja Jamaah yang kita mampu. Jangan malu untuk belajar dari orang yang lebih tahu, walaupun mungkin mereka bukan dari golongan graduan seperti kita. Jangan terasa janggal jadi AJK kecil dalam Jamaah meskipun waktu di kampus dulu kita adalah pimpinan majlis syura. Jangan lemah untuk bermula dari bawah kalau itu saluran yang membolehkan kita menyumbang untuk perjuangan.
Tetapi, jika ditakdirkan kita yang harus menjadi peneroka kepada pembentukan Jamaah di sesuatu tempat, maka itu adalah rezeki perjuangan yang amat besar bagi kita. Meneroka tidak sama dengan melalui jalan yang telah diteroka orang yang terdahulu. Meneroka memerlukan kebijaksanaan, kegigihan dan pengorbanan yang tinggi. Jangan sekali-kali jiwa kita merudum semata-mata kerana kita terlantar keseorangan di lembah yang jauh. Bina impian yang tinggi dan suci, sepertimana impian Abu Dzar al Ghifari. Jangan sekali-kali menyalahkan persekitaran dan sikap dingin manusia terhadap Islam sebagai penyebab kelesuan kita. Cari kekhilafan diri sendiri dan perbaiki semaksima mungkin. Kita umat terbaik di sisi Allah dan berbekalkan bekalan yang terbaik yang Allah bekali kita. Mulakan dengan mencari bakal-bakal mad’u yang menampilkan akhlak Islam yang baik. Tawan aqliyyah dan ‘athifah mereka dengan Islam yang kita percontohkan. Bina impian untuk jadikan mereka bakal aktivis Islam yang paling cemerlang. Islam tidak pernah meletakkan syarat bahawa peneroka dakwah itu hanya diperuntukan untuk lelaki sahaja. Muslimat juga mampu meneroka jalan. Tangan yang lembut itu mampu mengoncang dunia.
Semarakkan dakwah ini walau di medan mana kita berada. Di pejabat kita, di institusi kita, di premis perniagaan kita, di kampong kita, atau di mana sahaja bumi kita berpijak.
Allah amat dekat dengan kita. Jangan terpisah dengan Allah walau seketika. Justeru itu, jangan jemu untuk sentiasa perbanyakan amal. Solat, qiam al layl, zikrullah, tafakur, membaca dan menyelami al-Quran, selawat, bersedeqah, munajat, dan sebagainya adalah di antara amal-amal penting untuk mengikat diri dengan Allah dan sekaligus membina kekuatan ruhiyyah kita untuk mengharungi hidup dan perjuangan ini.
Isnin, 4 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan