CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Khamis, 7 Januari 2010

Penduduk Gaza hadapi ancaman kebuluran


Sumber : Sinar Harian

ABU Majed Qishta, pemilik terowong untuk aktiviti penyeludupan antara sempadan Genting Gaza dan Mesir, tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang ketika menyaksikan apa yang dilakukan jentera-jentera berat Mesir dan kereta perisai Israel.

Beliau menyuarakan kebimbangannya selepas laporan media menyatakan pihak berkuasa Mesir kini sedang menggali tanah di kawasan sempadan Genting Gaza untuk membina tembok besi bawah tanah.

Tembok besi tersebut dibina untuk menghalang aktiviti penyeludupan dari Mesir ke wilayah Gaza yang dikuasai Hamas.

Urus niaga dalam terowong semakin merosot sejak beberapa hari lalu. Pemilik-pemilik terowong kini dihantui perasaan takut dan meragui tindakan pihak berkuasa Mesir di bahagian sempadan negara itu.

"Sebenarnya, kami tidak tahu apa tindakan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir di kawasan sempadan. Tetapi, kami pasti mereka sedang cuba menghalang aktiviti di terowong dan tindakan tersebut pasti menjejaskan urus niaga kami," kata Abu Majed.

Sejak Hamas menguasai Gaza pada Jun 2007, Israel menutup semua laluan komersial ke wilayah itu bagi menghalang penduduk Palestin mengimport barangan dan produk asas.

Bagaimanapun, penduduk Palestin tetap menggali beratus-ratus terowong bawah tanah di sempadan Genting Gaza dan Mesir.

Abu Majed berkata, tanpa terowong-terowong tersebut, penduduk Gaza akan menghadapi masalah kebuluran akibat penutupan semua laluan komersial ke wilayah berkenaan.

Dia berkata demikian dengan merujuk kepada beberapa produk seperti bahan makanan utama, makanan ringan dan bahan api kenderaan yang akan terjejas akibat tindakan Mesir itu.

Tidak jauh dari tembok simen yang dibina Mesir pada musim sejuk 2008, jentera-jentera berat kelihatan sedang melakukan kerja di kawasan sempadan antara bandar raya Rafah di selatan Genting Gaza dan Mesir.

"Kami dapat lihat jentolak menggali tanah dan semua kerja tersebut dipantau oleh pihak berkuasa Mesir," kata Abu Majed.

Menurutnya, penduduk di Rafah dapat menyaksikan dengan jelas kehadiran askar dan pihak berkuasa Mesir di sepanjang sempadan.

Penduduk Rafah, Mohamed mendakwa penduduk di bandar itu dapat mendengar tembakan dilepaskan oleh askar toghut Mesir dan pejuang Palestin.

Pemimpin kanan Hamas, Ayman Taha mengakui mendengar bunyi tembakan tetapi menolak sekeras-kerasnya penglibatan anggota kumpulan itu dalam insiden serangan ke arah askar dan polis Mesir di sempadan.

"Hubungan kami dengan Mesir sangat baik berdasarkan persaudaraan dan kasih sayang. Kami sama sekali tidak akan melakukan tindakan seperti itu," katanya.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, tembok tersebut dibina di bawah dana dan pemantauan Amerika Syarikat (AS) untuk menekan kehidupan 1.5 juta penduduk Palestin di Gaza.

Beliau mendakwa Israel laknatullah dan mustakbirin AS gagal untuk mengenakan sekatan antarabangsa ke atas sempadan Gaza berikutan serangan ketenteraan dilancarkan rejim dua tahun lalu.

Tembok besi tersebut dibina sedalam 18 meter di bawah tanah untuk menghalang kegiatan penyeludupan ke Gaza.

Penduduk Palestin menggunakan rangkaian terowong bawah tanah untuk membawa pelbagai barangan keperluan termasuk bahan api ke Gaza selepas Israel mengenakan sekatan ke wilayah itu sejak lebih dua tahun lalu.

"Tugas-tugas kebangsaan, moral, kemanusiaan dan agama mendesak Mesir dan semua negara Arab serta Islam supaya menghentikan rancangan tersebut dan menghapuskan sekatan ke atas Gaza," kata Fawzi.

Beliau turut menegaskan bahawa Gaza tidak akan menjadi ancaman ke atas keselamatan Mesir.

Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit sebelum ini secara tidak langsung sudah memaklumkan mengenai rancangan pembinaan tembok besi bawah tanah itu.

Beliau berkata, adalah menjadi hak Mesir untuk mempertahankan kedaulatannya di sempadan negara itu.

Beberapa pemilik terowong mendakwa langkah-langkah keselamatan terbaru itu dilakukan pihak berkuasa Mesir untuk menyekat penyeludup dari negara itu daripada menyalurkan bekalan makanan dan bahan api ke Gaza.

Seorang lagi pemilik terowong di barat Rafah, Abu Mahmoud berkata, situasi terbaru itu menyukarkan usaha membawa masuk barang keperluan dari Mesir ke Gaza kerana jentera-jentera berat beroperasi hampir setiap jam.

"Saya sudah menggesa pekerja saya berhenti bekerja di terowong. Saya bimbang terowong mungkin musnah akibat kerja-kerja menggali itu," kata Abu.

"Mesir nampaknya begitu serius untuk menamatkan kegiatan penyeludupan dalam terowong," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan