Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM – Fatwa ‘merokok adalah haram’ tidak dapat menyelesaikan masalah perokok tegar sekiranya fatwa tersebut tidak diselaraskan ke seluruh negeri.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Al Syeikh Abdul Halim Abd Kadir menyarankan agar fatwa itu diperbaharui untuk memberi kesedaran kepada perokok tegar.
“Pada pendapat saya, kempen serta penguatkuasaan ketat sepatutnya dilaksanakan kepada setiap golongan yang terlibat dan semua negeri mempunyai kuasa untuk mewartakan fatwa tersebut.
“Pihak berkuasa perlu memberi penjelasan secara terperinci mengenai penerangan pembaziran dan bahayanya rokok sehingga memudaratkan kesihatan,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.
Menurutnya, cadangan kenaikan harga rokok pada kadar RM50 bagi pek 20 batang rokok juga tidak dapat menyelesaikan masalah individu yang kuat merokok.
“Saya juga menyarankan agar ibu bapa dapat bertanggungjawab memberi pendidikan awal kepada anak-anak mereka kerana ia adalah amanah Allah.
“Anak-anak perlu dibimbing daripada kecil supaya menghindari gejala merokok,” katanya.
Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan pula berkata, golongan ulama perlu menjadi contoh pemimpin bagi menyedarkan setiap individu yang merokok.
“Fatwa ini akan berjaya sekiranya semua golongan ulama dapat membantu dan menjadi model ikutan bagi hindari tabiat merokok.
“Kita (masyarakat) seharusnya membina ketahanan dan kekuatan dalam sesebuah keluarga untuk mereka (perokok) tahan daripada pengaruh tabiat merokok,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, perokok boleh dianggap sebagai seorang yang antisosial dan pentingkan diri sendiri kerana asap rokok tersebut mengundang bahaya kepada individu sekitarnya.
“Saya kesal kerana adalah segelintir individu yang sepatutnya menjadi contoh untuk tidak merokok masih merokok.
“Ia seolah-olah diibaratkan menghina fatwa ‘merokok adalah haram’.” katanya.
Beliau mencadangkan agar semua pihak yang berkenaan mengambil inisiatif bagi membantu hindari tabiat merokok di negara ini.
“Guru-guru dan juga masyarakat sekeliling seharusnya menganjakkan minda bagi kehidupan yang berkualiti.
“Langkah permulaan atasi .masalah itu adalah dengan cara menegur pelajar yang memakai pakaian seragam sekolah yang merokok supaya tidak terlibat dengan gejala pembaziran itu,” katanya.
Kelmarin, pelbagai cadangan yang diwujudkan oleh setiap individu bagi memberi galakan orang ramai untuk berhenti merokok termasuklah menaikkan kadar harga rokok dan menegaskan kembali fatwa ‘merokok adalah haram’.
Jumaat, 22 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan