Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati 98 peratus restoran tomyam, sup ekor tidak mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, maklumat dari jabatan berkaitan mendapati peniaga restoran atau gerai makan berkenaan kebanyakannya memperoleh bekalan seperti daging, ayam dan ekor lembu daripada sumber yang diragui dan tidak disahkan kehalalannya.
Menurutnya, selain restoran tersebut, restoran berpenampilan seperti mamak (India Muslim) sebenarnya majoriti pemiliknya beragama Hindu serta 95 peratus kopitiam juga tidak disahkan halal oleh Jakim manakala hanya 20 peratus hotel di negara ini disahkan halal.
“Pengguna Islam kena berhati-hati kerana restoran seperti ini amat mengelirukan, ditambah pula tukang masak dan kebanyakan pekerjanya warga asing malah apabila Jakim membuat pemeriksaan ada yang tidak tahu mengucap kalimah syahadah dan baca al-Fatihah.
“Perkara ini seharusnya diperhalusi, ini adalah penipuan terhadap orang Islam yang mengunjungi restoran atau gerai mereka. Selain Jakim, pihak polis perlu menjalankan siasatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga kena proaktif dalam menanganinya,” katanya.
Dr Ma’amor turut mencadangkan lima perkara yang perlu digariskan di mana sebagai sebuah negara Islam, akta halal perlu dilaksanakan dengan segera.
Selain itu, beliau juga menyarankan agar penguatkuasaan dan jumlah pegawai penguatkuasa Jakim perlu dipertingkatkan bagi menangani isu ini.
“Selain akta dan peningkatan penguatkuasaan, makmal yang canggih untuk mengkaji makanan halal perlu disediakan dan juga usaha mengkomersialkan aplikasi kajian test kid makanan halal yang dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga perlu dilaksanakan segera.
“Dan umat Islam sendiri berusaha untuk menjadi pengusaha makanan serta menyokong peniaga dan pemilik restoran beragama dan Islam,” katanya.
Beliau juga menggalakkan pengguna Islam agar mengutamakan masakan di rumah berbanding makan di luar kerana kita lebih yakin dengan penyediaannya yang lebih bersih dan sihat.
Bagaimanapun katanya, makanan halal jika tidak bersih dari segi penyediaannya juga boleh memudaratkan kesihatan. Oleh itu pengguna Islam perlulah tahu bagaimana cara penyediaannya.
Selasa, 16 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan