CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Ahad, 14 Mac 2010

Laman sesawang sebar ajaran sesat dipantau

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menyiasat laporan mengenai kewujudan satu laman sesawang yang dikesan baru-baru ini dan dipercayai mempunyai unsur ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, siasatan dan pemantauan itu nanti akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Inilah masalahnya sekarang kerana ramai sangat orang yang cepat percaya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal. :

"Oleh itu, kita akan segera pantau dan siasat perkara ini kerana kita tidak mahu laman sesawang ini berleluasa dan mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Jamil berkata, Jabatan Perdana Menteri akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi komunikasi dan multimedia lain bagi memantau aktiviti ajaran sesat yang disebarkan melalui Internet dari semasa ke semasa.

“Saya fikir kita harus ada jalinan yang baik dengan syarikat mahupun agensi yang melibatkan jaringan Internet kerana mereka boleh memantau perjalanan aktiviti tidak sihat di ruang siber,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Jamil meminta semua ahli jawatankuasa masjid menguruskan kewangan mereka dengan baik supaya dapat menjalankan aktiviti ummah dan kemasyarakatan tanpa membebankan pihak lain.

“Mereka tidak harus hanya bergantung kepada tabung masjid sebaliknya perlu lebih aktif iaitu dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi mengutip derma.

"Dengan cara ini, mereka tidak akan terlalu bergantung kepada pihak lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membantu kewangan mereka bagi aktiviti mahupun menambah baik kemudahan dalam masjid,” katanya.

Jamil turut menggalakkan ahli jawatankuasa masjid mewujudkan bazar atau ‘kiosk’ di mana keuntungan hasil jualan boleh membiayai program yang dilaksanakan masjid. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan