CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Ahad, 14 Mac 2010

Manbaul Huffaz lebih sistematik

Sumber : Sinar Harian

TAMAN CHERAS INDAH - Jika sebelum ini pengurusan di Maahad Tahfiz Manbaul Huffaz tidak sistematik, namun kerjasama daripada pengurusan baru menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadikan pengurusan di Maahad Tahfiz tersebut lebih sistematik.

Menurut Penolong Kanan 1, Khairul Hafiz Salihin, penubuhan akademi tersebut mendapat sambutan dari masyarakat umum, terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang inginkan anak mereka sebagai huffaz yang berwibawa.

“Setelah berjaya diuruskan secara sistematik dan dikemaskinikan pengurusan baru dan tenaga pengajar yang berpengalaman, pengenalan subjek akademik turut diajar menggunakan sukatan KBSR dan KBSM.

“Manakala pengajian Islam dalam mata pelajaran yang berkaitan di bawah rujukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya selepas Majlis Penubuhan PIBG Tahfiz, Ceramah Motivasi dan Pelancaran Mahfuz Trading.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Meor Rithuan dan Mohamed Said, Pegawai Pe- nyelaras Masjid Daerah Hulu Langat, Musa Baharuddin yang juga menyempurnakan majlis itu.

Menurutnya, Maahad Tahfiz kini mempunyai seramai kira-kira 52 pelajar yang tinggal di asrama.

“Kami menerapkan konsep tahfiz sepenuh masa selain beberapa pengajian Islam lain, malah turut menjemput beberapa guru tuisyen untuk mengajar empat subjek teras yang diajar di sekolah lain.

“Selain itu, kami turut berusaha mendaftarkan pelajar ini untuk ditempatkan di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana sebelum ini, Maahad Tahfiz ini melahirkan beberapa pelajar cemerlang yang menjadi tokoh di dalam beberapa bidang,” katanya.

Katanya, Mahfuz Trading ditubuhkan bertujuan untuk mencari dana dan pembangunan bagi menampung kos operasi dan kebajikan.

“Terdapat beberapa objektif penubuhan tersebut antaranya menawarkan perkhidmatan perniagaan yang pelbagai mengikut keperluan masyarakat, mempererat tali silaturahim antara huffaz dan masyarakat.

“Saya berharap Mahfuz Trading ini akan terus berkembang dan mampu memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat dalam memperkenalkan konsep ‘perniagaan sambil menderma’,” katanya yang juga Pengarah Urusan Mahfuz Trading.

Bagi Meor, penubuhan PIBG tersebut dilihat mewujudkan satu ruang interaksi antara Maahad Tahfiz dan ibu bapa.

“Saya melihat pengurusan di sini lebih sistematik dan teratur sekali gus melahirkan pelajar cemerlang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan