CARIAN KOD MAKANAN (HALAL/HARAM)

Ahad, 29 November 2009

Masjid perkenal konsep ansuran korban

Sumber : Sinar Harian

PUCHONG – Bermula tahun depan, pengurusan Masjid Al Husna di Taman Wawasan dekat sini bakal memperkenalkan konsep bayaran ansuran bulanan bagi mereka yang berminat mengerjakan ibadat korban menerusi sistem itu.

Pengerusi masjid berkenaan, Shariffuddin Ali Intas Ali berkata, ramai yang ingin menjalankan ibadat korban namun mungkin tidak mempunyai kemampuan apabila bayaran perlu dibuat secara sekali gus sebelum ini.

Katanya, ia bertujuan memberi ruang kepada ahli kariah dan masyarakat setempat melakukan ibadah korban, memandangkan kaedah berkenaan dilihat dapat memberi peluang lebih ramai menyertai program yang diadakan setiap kali Hari Raya Korban.


“Pada tahun depan, kami bercadang untuk mewujudkan konsep bayaran bulanan dan mereka yang berminat hanya perlu membuat bayaran antara RM45 hingga RM50 setiap bulan bermula Januari sehingga tibanya hari berkenaan.

“Mereka hanya perlu memasukkan wang ke dalam satu akaun bank yang khusus, namun perlu memaklumkan perkara berkenaan kepada ahli jawatankuasa Masjid Al Husna yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Korban di masjid itu, pagi semalam.

Shariffuddin berkata, dengan cara berkenaan, orang ramai dapat menggunakan kaedah seperti menabung dan akhirnya dapat menunaikan niat mereka melakukan korban.

Menurutnya, walaupun baru beroperasi beberapa bulan lalu namun pengurusan masjid juga menggunakan kaedah canggih bagi aktiviti penyembelihan lembu buat julung kali ia dianjurkan.

“Idea menggunakan kaedah ini timbul apabila kami melihat cara-cara digunakan rumah penyembelihan termasuk kaedah digunakan sesetengah masjid yang lebih mudah dan dapat menjimatkan masa.

“Dalam masa dua jam sahaja hampir 10 lembu dapat dikorbankan dengan kerjasama kariah dan masyarakat setempat yang sanggup berhempas-pulas melaksanakan ibadah itu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati masjid berkenaan menggunakan sistem penyembelihan ‘sequence’ di mana lembu yang diturunkan dari lori akan diletakkan dalam satu kandang dan ditempatkan di tempat penyembelihan yang lengkap dengan lantai licin bagi memudahkan lembu ditumbangkan.

Penggunaan sistem itu hanya memerlukan masa selama lima minit sebelum haiwan berkenaan ditumbangkan, dilapah dan diagih-agihkan kepada penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan