Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM - Jemaah Surau An-Nur Taman Koperasi Polis 1, Gombak terpaksa berhadapan suasana cemas apabila lembu yang ingin disembelih untuk menyempurnakan ibadat korban tiba-tiba mengamuk dan berjaya meloloskan diri dari tambatan.
Ahli Jawatankuasa Kariah, Muhammad Saifullah Dahlan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi semalam ketika Pasukan Ke-11 Jawatankuasa Petugas Majlis Korban Khairiah surau itu bersiap sedia untuk meneruskan penyembelihan berikutnya.
Menurutnya, tidak semena-mena lembu yang ditambat di sebatang pokok meronta dengan kuat sehingga menyebabkan tali ikatan terputus dan lembu itu terus lari.
“Seramai 20 anggota terpaksa berhempas pulas selama lebih dua jam untuk mengejar dan seterusnya menangkap semula lembu yang terlepas ketika hendak disembelih itu.
“Keadaan panik seketika menyebabkan orang ramai yang menyaksikan majlis korban terutamanya kanak-kanak turut lari bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Muhammad Saifullah berkat, lembu itu lari mengikut beberapa lorong perumahan di Taman Koperasi Polis dan akhirnya masuk ke perkarangan Balai Bomba Cawangan Taman Koperasi Polis 1.
Katanya, lembu jantan yang dianggarkan melebihi 150 kilogram itu akhirnya dapat ditumpaskan setelah 3 kali terlepas ikatan dan beberapa kali menyerang petugas penyembelihan.
“Dalam kejadian itu, dua motosikal mengalami sedikit kerosakan akibat digesel oleh lembu itu dan ketika berjaya ditangkap pada kali kedua, kekuatan lembu telah membuatkan tali terputus sehingga ia dapat melepaskan diri sekali lagi.
“Ketika berjaya ditangkap untuk kali ketiga, lembu itu yang diikat pada tiang lampu meronta sehingga menyebabkan tiang lampu bergoyang dan terlepas lari sekali lagi,” katanya mengenai kejadian pertama kali berlaku sepanjang kariah surau berkenaan menunaikan ibadah korban.
Beliau berkata, selepas lebih dua jam, akhirnya lembu itu dapat juga diikat dan penyembelihan terpaksa dilakukan di perkarangan Balai Bomba dengan bantuan hampir 20 pembantu bagi memastikan penyembelihan dapat disempurnakan.
Sementara itu, beliau berkata, tahun ini sebanyak 12 lembu dikorbankan dan disembelih di perkarangan Masjid Taman Koperasi Polis 1.
“Kami bersyukur walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi mencemaskan tetapi dapat menyempurnakan acara korban tanpa sebarang kemalangan atau kecederaan kepada orang ramai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai dan pihak bomba yang membantu kami menyempurnakan tugas,” katanya.
Ahad, 29 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan