Sumber : Sinar Harian
SERI KEMBANGAN – Sungguh malang bagi seorang juru mekap yang menyangka dua lelaki berbaju Melayu dan berkopiah adalah pemuda alim namun rupa-rupanya peragut yang tidak berhati perut.
Lebih malang, kedua-dua peragut yang berpura-pura seperti orang baik itu menikamnya sehingga menyebabkan mangsa menerima lebih 20 jahitan.
Difahamkan, kedua-dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Nissan itu, memberhentikan kenderaan berdekatan taman perumahan di Jalan BS8/1A tanpa disedari mangsa yang kebetulan baru turun dari keretanya selepas pulang dari tempat kerja.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Khiew berkata, selepas meletakkan kereta di kawasan lapang beberapa meter dari rumah, anaknya terus melangkah menuju ke arah rumah.
“Anak saya berusia 27 tahun itu memberitahu, dia tidak menyangka sesuatu yang buruk bakal berlaku kerana kedua-dua lelaki terbabit kelihatan seperti orang baik dan berpakaian seperti orang yang mahu bersolat.
“Bagaimanapun, anak saya terkejut apabila salah seorang suspek bersenjatakan pisau terus menikam bahagian belakang badannya berkali-kali tanpa peri kemanusiaan,” katanya.
Khiew berkata, terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, anaknya kemudian mencampakkan beg tangan yang digalas ke atas permukaan jalan kerana bimbang terus dicederakan.
“Perompak menikam bahagian belakang badan, pinggang kanan dan tangan kirinya beberapa kali.
“Saya yang mendengar jeritan anak dari luar rumah terus menjerit meminta penjenayah itu berhenti daripada menikamnya,” katanya yang memaklumkan penjenayah terbabit enggan berhenti menikam.
Kata beliau, selepas salah seorang jirannya mengambil sebatang kayu golf dan meluru ke tempat kejadian barulah, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.
“Kami mengesyaki perompak berkenaan telah mengambil pil khayal kerana semasa menikam anak saya dia ketawa dan kelihatan tidak waras.
“Akibat daripada kecederaan, anak saya terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali kerana tikaman itu nyaris mengenai paru-parunya,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan.
Sabtu, 26 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan